Tembak: Sudah sampai masanya laksana hudud

Tembak: Sudah sampai masa laksanakan hudud

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri dicadang mengguna pakai undang-undang hudud, kisas dan takzir yag telah diluluskan ketika zaman pentadbiran Pas.

Pengerusi Lajnah Dakwah Pas Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani mencadangkan perkara itu ketika mengulas kejadian tembak pada jarak dekat terhadap bekas Adun Alor Limbat, Alias Abdullah, Jumaat lalu.

Menurutnya, kejadian tembakan bukanlah pertama kali berlaku di negeri ini dan membuktikan undang-undang sedia ada tidak mendatangkan ketakutan sehingga jenayah tersebut seolah-olah boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

“Kita harap kerajaan buka balik undang-undang yang telah diluluskan Sultan Terengganu berkaitan hudud, kisas dan takzir. Undang-undang ini hanya tinggal untuk dilaksanakan sahaja.

“Kita letak keyakinan kalau hukuman ini dilaksanakan, perkara sebegini tidak akan berlaku kerana hukumannya berat. Kalau berlaku pun ia terlalu ganjil.

“Isu tembak semakin menjadi-jadi seolah-olah penjenayah tidak takut sebab mereka tahu boleh lepas diri. Undang-undang yang ada tidak sekuat hudud dan kisas,” katanya.

Bekas Adun Alur Limbat, Marang, Alias Abdullah maut ditembak di kediamannya di Kampung Alur Limbat, Marang selepas solat Jumaat di hadapan rumahnya.

Sementara itu, Azman turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Alias dan menyifatkan kejadian itu mengejutkan.

Jelasnya, keadaan ini turut mendatangkan keresahan bukan hanya kepada rakyat tetapi ahli-ahli politik.

“Kita juga sedih dengan apa yang berlaku apatah lagi beliau juga mempunyai sumbangan kepada negeri ketika ketika menjadi Adun,” katanya.

sumber:sinarharian

Leave a comment